April 23, 2013

Lee Chong Wei Mara Ke Suku Akhir Terbuka India 2013

Datuk Lee Chong Wei membuktikan statusnya selaku pilihan pertama Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India 2013 apabila mudah menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai semalam sekali gus layak ke pusingan suku akhir.

Chong Wei mengambil masa selama 33 minit untuk melakar kemenangan 21-17, 21-9 ke atas pemain muda Jepun di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

Chong Wei yang tampil dengan aksi konsisten sejak pusingan pertama kelmarin, akan berdepan pemain tuan rumah, H. S. Prannoy yang turut mara selepas membuat kejutan ke atas jaguh Indonesia, Taufik Hidayat. Taufik tumpas 24-26, 9-21 dalam tempoh 40 minit kepada pemain muda India itu.

Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara selepas mencatatkan kemenangan mudah ketika menundukkan pasangan tuan rumah, Surender Rathee-Neeraj Vashist 21-13, 21-8 pada pusingan kedua semalam.

Walau bagaimanapun, Kien Keat-Boon Heong dijangka menghadapi tugas sukar hari ini selepas dijadualkan bertemu pasangan No. 5 dunia, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan yang turut mara selepas menewaskan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-14, 21-8.

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut berjaya menundukkan pasangan Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Miyuki Maeda 19-21, 21-10, 23-21.

Blackrosehunter